100,000 DISASAR KUNJUNGI SAMBUTAN HARI PENGGUNA KEBANGSAAN 2015



Pelakon terkenal Siti Saleha Mohd Baharum
 menunjukkan logo Hari Pengguna Kebangsaan 2015 pada majlis pra pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini.PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) --





Kira-kira 100,000 orang disasar mengunjungi sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia dari 23 hingga 25 Okt ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin berkata pihaknya menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung setiap hari berbanding hanya 20,000 orang pada sambutan tahun lalu.

"Kalau dapat 50,000 setiap hari ia merupakan satu kejayaan besar dan kalau boleh (kita) mahu mengatasi jumlah pengunjung pada sambutan Hari Koperasi Negara Ogos lalu iaitu 80,000 orang sehari," katanya dalam sidang media bersempena prapelancaran Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia di sini hari ini.



Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin bersama Ketua Setiausaha Datuk Seri Alias Ahmad (kiri) dan pelakon terkenal selaku duta, Siti Saleha semasa pra pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia di Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri Datuk Basaruddin Sadali (dua, kanan).




Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia akan diadakan di Dataran Merdeka pada 23-25 Oktober ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut Hamzah tujuan utama sambutan adalah untuk menawarkan jualan barangan pada harga berpatutan kepada pengunjung selain menanam semangat patriotik di kalangan pengguna dengan menggunakan jenama tempatan.

Pada masa sama, katanya, program sedemikian juga dapat membantu peniaga tempatan dan seterusnya menjana ekonomi domestik terutama ketika kelembapan ekonomi ketika ini.

Hamzah berkata sambutan yang julung kali menggabungkan kedua-dua program itu akan disertai lebih 200 usahawan tempatan daripada pelbagai kategori seperti makanan, pakaian dan aksesori bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Selain itu, pelbagai program menarik diatur antaranya larian 'Friends of KPDNKK'; cabutan bertuah; malam cinta Rasul dan penyampaian Anugerah Tokoh Pengguna.

Pengunjung juga akan dihiburkan menerusi Konsert Suara Pengguna yang menampilkan beberapa artis terkenal antaranya Ayda Jebat; Hakim The Majistret; Marsha Milan; Joe Flizzow; Sona One; Kaka Azraff dan Asfan.

-- BERNAMA 13 Oktober 2015

No comments:

Post a Comment